Friday, August 15, 2008

Nasihatku pada pembaca novel 'Cinta Islamik'

Aku baru sahaja usai membaca "ZIKIR-ZIKIR CINTA",Anam khairol Anam. SYAHADAT CINTA, Taufiqurrahman Al-Azizy. Tidak dinafikan, jalan ceritanya sungguh membuai perasaan. Adakah kedua-duanya menggambarkan kedaan sebenar gaya hidup siswa sekolah pondok,aku tak pasti. Yang aku tahu, kedua-duanya ditamatkan dengan kemenangan pada cinta. Bacalah sendiri, siapa yang menang, cinta Allah atau cinta manusia. Seboleh-bolehnya penulis mengupas kesucian cinta agung manusia kepada pasanan yang dicintainya, lebih dari cinta si Khaliq pada hambanya atau usaha cinta sang hamba pada si khaliq. Tidak jauh bezanya dengan novel-novel yang pernah ku baca sebelum ini. Adaptasi filem Ayat-ayat cinta juga kurasakan menyimpang jauh dari mesej habiburrahman al syirazy yang sebenar. Sayangnya, setiap cinta yang lahir dari cerita ini terus disandarkan dengan kalimah-kalimah agung dalam islam, cukup untuk meyakinkan manusia. Berpendirianlah ketika membaca. Bukan salah penulis menceritakan buah fikirannya tetapi boleh bertukar kepada salah kita jika tiada pendirian tetap tentang cinta, menurut buah fikirku. Bagi pembaca yang masih asyik diulit mimpi indah cinta manusia tanpa mempedulikan batas syariatNya, sesuai dibawa muhasabah jalan cerinya bagi peringkat awal perubahan, tetapi bagi pembaca yang masih tercari-cari, di atas pagar mencari jalan meniti cinta hakiki, berwaspadalah..
Aku tidak akan berkata-kata seperti ini jika aku tidak pernah merasakannya. Aku tidak akan menilai dan menasihati kalian jika aku tidak menilainya dan menasihati diriku terlebih dahulu. Nilailah sendiri, di akhir zaman ini, jarang ada 'hidayah' yang datang menyapa dengan sewenangnya tanpa halangan dan bantahan, apalagi dirai-raikan umat manusia dan menembusi pasaran. Umat Islam kahir zaman perlu terlibat dengan perjuangan yang besar.Umat Islam akhir zaman perlu 'bersatu membentuk organisasi berstrategi'. Bukan diulit mimpi cinta yang tidak tahu di mana noktahnya, malah di mana sepatutnya ia bermula..
Fikirlah.

pokok persoalan, siapakah yang lebih layak menerima cinta kita, bukanlah Khaliq kita tidak ada yang serupa dengannya? buatlah perkaitan dan pertimbangkanlah..

Hanisah Wanasan
S. Petani

Aku mencintaimu kerana Allah.

“ Aku mencintaimu kerana Allah..”
Kabur.
Bagaimana pula dengan..” aku menyayangimu kerana cintaku pada Allah”?
Berbeza. Sungguh jauh berbeza, baik dari sudut lafaz, makna yang tersuratnya atau yang tersiratnya.

Muktamad. Cinta itu hanya untuk Allah, kasih sayang untuk manusia. Apa yang dinamakan kecenderungan (nafsu) yang terbatas itulah kasih sayang dan apa yang dinamakan kecenderungan yang tidak perlu batasan itulah cinta.

Apa ada lagi pertikaian tentang itu? Aku menterjemahkan soal ini dari sudut pemikiranmu wahai kaumku. Jangan terkeliru.

Sebenarnya, dari luar sudut pemikiranmu, di dunia ini hanya ada satu perkataan yang menterjemahkan tentang kecenderunganmu terhadap sesuatu. AL-HUBB (cinta) . Cinta Allah, cinta manusia, cinta ibu bapa, cinta dunia, cinta harta...cinta sememangnya dikendalikan dengan nafsu, itu bukan tugas akal. cuma yang membezakan, dari nafsu mana cinta itu dikendalikan. Adakah dari nafsu ammarah, atau nafsu lawwamah, atau mutmainnah atau dari pecahan tertinggi peringkat nafsu mutmainnah iaitu nafsu mardhiyyah dan nafsu kamilah? Nafsu mutmainnah itu hanya milik para nabi dan waliNya.

Tetapi dari sudut adat kita,nafsu itu dikaitkan dengan dorongan syaitan. Terpisahlah nafsu terus dari takrif rasa kecenderungan suci yang kita namakan cinta dan kasih sayang. Cinta dan kasih sayang itu pula sepertinya berbeza. Cinta seolah-olah suatu kecenderungan yang paling tinggi, kasih sayang itu pula rasa kecenderungan yang disifatkan dengan keterbatasan, tidak setinggi rasa cinta. Maka, jika masing-masing ditafsirkan berbeza, berikanlah kedua-dua perkataan itu dengan hak makna yang sesuai dengannya dan hakikat hak terjemahannya yang benar.
La ilaha illallahu wahdahu la syarikalah... Tiada yang disembah melainkan Allah, tiada yang sama dengan Allah. Tiada yang sama dengan sifat-sifatnya yang kamilah, tiada ada yang sama dengan asma’nya yang mulia. Hakikatnya yang azhim, agung itu tidak boleh disamakan dengan apa-apa. Dia Ar-Rahman, yang Maha Mencintai selayaknya mendapat al Hubb yang tertinggi dari kita, tiada al hubb dari makhluk lain yang boleh memintas al-hubb kita kepadaNya. Akur, Al hubb manusia itu lemah. Namun al hubb yang terbaik yang mampu diusahakan itulah layak dimiliki Allah, bukan kepada mana-mana dari makhluknya. Jika ’cinta’ yang kita maksudkan ialah rasa kecenderungan yang paling tinggi, tidak ada rasa yang lebih tinggi dari rasa ’Cinta’, maka ’cinta’ itulah seluruhnya milik Allah. Lalu, apa yang tinggal untuk makhluknya yang lain? Itulah kasih sayang, rasa kecenderungan yang perlu batasan kerana yang membataskan kasih sayang itu adalah cinta. Cinta kepada Allah.
Seorang anak yang menyayangi ibu bapanya tidak boleh menurut kehendak ibubapanya jika ia bertentangan dengan kehendak Allah. Kita akur kerana kita cintakan Allah.
Begitu juga seorang isteri yang menyayangi suaminya tidak boleh menuruti kehendak suaminya yang bertentangan dengan kehendak Allah. Kita akur kerana kita cintakan Allah..

Lantas, dari mana pula datang lafaz ”Aku mencintaimu kerana Allah” dari seseorang pada pasangannya yang bukan ajnabi. Lagi sekali, KABUR. Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung..
Mungkin yang wujud dalam situasi ini hanyalah syahwat semata-mata. Jika ada baki kecenderungannya, mungkin yang tinggal hanya bahagian kasih-sayang. Bukan cinta.
Sepasang suami isteri yang hidup bahagia diredhai Allah adalah kerana saling sayang menyayangi antara satu sama lain hasil dari cinta mereka kepada Allah. Atas kehendakNya yang mahu si suami menyayangi isteri dan kehendakNya yang mahu si isteri menyayangi suami, maka dipermudahkanNya,disemaiNya benih kasih-sayang antara satu sama lain pada kedua-dua hamba itu. Hakikatnya, kedua-dua hamba itu akur dengan penuh ketenangan dan kebahagiaan kerana cintakan Tuhannya....

Boleh atau tidak dari tafsiran akal manusia, inilah pendirianku. Cinta itu hanya untuk Allah semata-mata. Kasih-sayang wujud sesama manusia.
Bukanlah aku mahu membiarkan diri tenggelam dalam dunia tafsiran. Hakikatnya, aku hanya mahu menjelaskan kekaburan di hatiku supaya teori cintaku ini dapat diterjemahkan kepada yang selayaknya. Supaya manifestasi setiap kecenderungan yang lahir dari hatiku berprinsipkan garisan teori ini dapat ku tunaikan mengikut haknya masing-masing dengan selamat.

Bukti cinta itu adalah ’dagangan’ dan pengorbanan. Balasan cinta yang diharapkan pastinya halawatul iman yang dianugerahkan sejak di dunia lagi, berkekalan.
Bukti kasih-sayang juga pada pengorbanan, tetapi ada batasan.

Hanisah bt Wanasan.
Sungai Petani.
15 Ogos 2008
1.15 pm

buat mereka yang ku cinta.. selamanya kita di saffNya.